Taman tema air di Pulau Pinang berharap dapat kembali beroperasi pada bulan depan

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 27 June 2020
Read News

PULAU PINANG:

Taman tema air di Pulau Pinang, seperti taman tema Escape di Teluk Bahang, berharap dapat kembali beroperasi pada bulan depan, sejajar dengan pembukaan semula kolam renang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) Tan Sri Richard Koh berkata satu mesyuarat diadakan semalam dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membincangkan pembukaan semula tempat tarikan berasaskan air dan prosedur operasi standardnya (SOP).

Beliau berkata MOTAC akan mengemukakan surat kepada Kementerian Kesihatan pada 29 Jun mengenai pembukaan semula dan juga SOP yang diperlukan untuk beroperasi.

"Kami berharap kami mendapat kebenaran selepas seminggu (selepas surat dikemukakan) untuk kami membuka semula pada Julai, bersama dengan pembukaan semula kolam renang," katanya kepada pemberita di The TOP @ Komtar.

Pada 16 Jun, sebahagian taman tema Escape dibuka semula kepada orang ramai, melibatkan tarikan bertemakan alam semula jadi manakala tarikan berasaskan air masih ditutup.

Terdahulu, Koh mengiringi Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen mengunjungi Rainbow Skybridge, antara tarikan The TOP @ Komtar yang kembali beroperasi.

Koh, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Only World Group Holdings Bhd, berkata hanya tiga daripada 17 tarikan di The TOP @ Komtar yang kini beroperasi, dengan dua tarikan lain ialah Jurassic Research Center dan Penang Boutique Aquarium.

"Tarikan lain yang melibatkan kedudukan fizikal rapat seperti ‘bumper cars’ dan The Gravityz tidak dibuka buat masa ini tetapi kami sedang meninjau untuk membukanya semula secara beransur-ansur di masa depan," katanya.

Beliau berkata SOP untuk The TOP @ Komtar juga merangkumi pemendekan waktu operasi, kepada 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari kecuali Selasa, serta mengehadkan pengunjung kepada hanya 1,000 orang sehari.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.