TH disyor lebih terbuka pilih agensi pelancongan jadi PJH

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 year ago on 13 July 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) mengesyorkan Tabung Haji (TH) lebih terbuka bagi memilih agensi pelancongan yang belum menjadi Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) setiap tahun.

Presidennya Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, sudah tiba masanya sistem 'kartel TH' yang diamalkan perlu dirombak tanpa birokrasi bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain menjadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada PJH yang sedia ada setiap tahun.

"Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti di ulang ganti setiap dua tahun.

"TH perlu lebih peka dengan insiden jemaah haji yang terjadi setiap tahun dan apakah tindakan mereka bagi membanteras permasalahan ini.

"Dalam hal ini juga, Papuh menyambut baik reaksi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (Motac) yang mengambil tindakan selepas berlakunya penipuan di bawah undang-undang Akta Industri Pelancongan 1992. Tindakan ini adalah wajar kerana pengurusan mengerjakan haji bukanlah terletak di bawah kuasa Motac," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pihaknya turut kesal dengan tindakan agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab mempromosikan pakej haji furada kepada orang ramai dengan menjanjikan bulan dan bintang sehingga di saat-saat akhir.

"Sebagai persatuan yang bertanggungjawab atas urusan umrah dan haji, kami melihat insiden ini amat serius kerana ia membabitkan jutaan ringgit orang awam.

"Untuk rekod Visa Haji Jemputan adalah visa yang dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi kepada orang yang berkepentingan kepada mereka.

"Ini bermakna ia tidaklah semudah bagi siapa saja yang ingin memohon Visa Haji Jemputan ini kecuali mereka yang berkepentingan," katanya.

Menurutnya, Visa Haji Jemputan adalah hak mutlak Kedutaan Arab Saudi dan ia tiada kaitan dengan Tabung Haji.

"Jemaah mereka sekiranya agensi pelancongan itu tidak mempunyai sebarang surat kelulusan dari Kedutaan Arab Saudi.

"Ini tidak akan berlaku kekecohan sekiranya agensi pelancongan bertindak lebih awal dan tidak menunggu sehingga saat akhir," katanya.

Razali berkata, Papuh melihat punca utama yang berlaku adalah bakal jemaah haji tertarik iklan promosi dengan harga pakej yang ditawarkan.

"Sepatutnya jemaah haji tidak perlu membayar keseluruhan kos pakej sebaliknya hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan.

"Bayaran penuh boleh dibuat sekiranya mereka mendapat Visa Haji Jemputan.

"Pengurusan syarikat bagi mengurus permasalahan jemaah tidak diurus dengan baik juga menjadi faktor penyumbang kepada insiden ini," katanya.

Katanya, tahun ini, Visa Haji Jemputan ini tidak menggunakan Visa Furada (visa sahaja) seperti tahun sebelumnya sebaliknya digantikan dengan Visa Mujamalah (visa termasuk pakej pengurusan dan penginapan) yang lebih efektif dan mudah.

"Disebabkan pandemik Covid-19, kerajaan Arab Saudi menghadkan jumlah kemasukan jemaah haji pada tahun ini adalah satu juta orang seluruh dunia.

"Ini bermakna pengeluaran Visa Haji Jemputan juga dihadkan tidak seperti tahun sebelum wabak Covid-19 melanda dunia," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.