Trip.com Group, AirAsia.com bekerjasama rangsang permintaan perjalanan antarabangsa

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 8 August 2020
Read News

KUALA LUMPUR :

 Penyedia perkhidmatan perjalanan dalam talian antarabangsa terkemuka, Trip.com Group dan AirAsia.com, platform e-dagang pelancongan dan gaya hidup, menjalin kerjasama melibatkan rangkaian perkhidmatan dan produk popular.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata kerjasama itu dijangka mewujudkan sinergi bagi kedua-dua platform digital itu dan inisiatif bersama untuk merancakkan permintaan yang lebih memberangsangkan bagi perjalanan antarabangsa dengan tawaran produk menyeluruh seperti penginapan dan hotel, pemindahan lapangan terbang dan aktiviti-aktiviti.

“Ahli premium Trip.com Group akan turut menikmati keistimewaan yang ditambah baik bagi penerbangan AirAsia apabila mereka membuat tempahan menerusi platform Trip.com Group,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata kerjasama dengan Trip.com Group adalah tepat pada masanya berikutan perjalanan rentas sempadan yang dijangka dimulakan semula.

Sehubungan itu, beliau berkata AirAsia adalah pesawat antarabangsa terbesar ke China dengan penumpang dari negara itu mewakili lebih 10 peratus daripada trafiknya Asia Tenggara.

“AirAsia terbang ke 21 bandar di China, menghubungkan pengembara kepada lebih 150 destinasi dalam rangkaian kami. Dengan tumpuan yang berterusan bagi menyediakan nilai terbaik dan pilihan kepada tetamu kami, AirAsia telah melalui transformasi daripada syarikat penerbangan kepada platform teknologi pelancongan, gaya hidup dan kewangan yang terkemuka.

“Kerjasama dengan Trip.com Group membuktikan komitmen dan keyakinan kami dalam pasaran China, lebih-lebih lagi dalam persekitaran COVID-19 yang mencabar, yang mana kami kekal optimis bahawa sempadan akan dibuka dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Fernandes berkata AirAsia akan terus bekerjasama dengan rakan strategik seperti Trip.com Group untuk menyediakan rangkaian produk, perkhidmatan, inovasi  yang lebih baik untuk keselesaan tetamu.

Sementara itu CEO Trip.com Group, Jane Sun berkata berikutan permintaan yang meningkat secara berperingkat dan laluan penerbangan yang dibuka semula, kumpulan itu berhasrat bekerjasama dengan AirAsia untuk menjayakan pemulihan industri pelancongan dan menyediakan pengalaman lebih baik kepada pengembara.

“Susulan pandemik yang dapat dikawal secara berperingkat, kami melihat permintaan antarabangsa mencatat pemulihan di seluruh Asia Pasifik.

"Kami mendapati jumlah penginapan di beberapa pasaran serantau utama hampir pulih kepada jumlah semasa pra-pandemik ini, manakala jumlah tiket penerbangan terus merekodkan pemulihan yang kukuh,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.