Asia Pasifik Mendominasi Senarai Henley Passport Index pada Tahun 2021

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 7 January 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Kedudukan asal untuk kesemua pasport di dunia mengikut bilangan destinasi yang boleh diakses oleh para pemegang pasport tanpa mendapat visa terlebih dahulu  memberi petunjuk yang menarik terhadap masa depan kebebasan perjalanan seluruh dunia yang telah berubah disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini. 

Tanpa mengambil kira tentang sekatan sementara, Jepun kekal memegang kedudukan pertama, dengan para pemegang pasportnya mempunyai akses ke 191 buah destinasi tanpa visa.

 Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut, Jepun menduduki tempat teratas. Asia Pasifik (APAC) mendominasi senarai indeks tersebut  berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA)  yang kini kelihatan semakin kukuh. 

Singapura berada di kedudukan ke-2, dengan akses ke 190 buah destinasi dan Korea Selatan memegang tempat ke-3 bersama-sama dengan Jerman, dengan kedua-dua negara ini mempunyai akses ke 189 buah destinasi tanpa visa/visa semasa ketibaan.

Berada di kedudukan yang agak bawah tetapi masih berada dalam kelompok 10 teratas, New Zealand mendapat tempat ke-7, dengan akses tanpa visa ke 185 buah destinasi, manakala Australia berada pada kedudukan ke-8, dengan akses ke 184 buah destinasi. 

Sepanjang sejarah indeks tersebut selama 16 tahun, kedudukan teratas secara tradisinya telah dipegang oleh negara-negara EU, UK atau AS dan pakar-pakar meramalkan kedudukan kekuatan rantau APAC akan terus meningkat kerana rantau ini mempunyai negara-negara terawal yang akan memulakan proses pemulihan pandemik. 

Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners dan merupakan pencipta kepada konsep indeks pasport ini menyatakan bahawa dengan keadaan di AS dan UK yang masih berdepan dengan cabaran hebat berkaitan virus tersebut, keseimbangan kuasa akan berubah. "Sepanjang tujuh tahun yang lalu, kedudukan pasport AS telah turun daripada tempat pertama kepada tempat ke-7, iaitu kedudukan terkini yang dikongsi bersama dengan UK. Disebabkan oleh kekangan perjalanan yang berkaitan dengan pandemik ini, pelancong dari kedua-dua buah negara tersebut kini menghadapi sekatan utama dari lebih 105 buah negara, dengan para pemegang pasport AS dapat melakukan perjalanan ke kurang daripada 75 buah destinasi, manakala para pemegang pasport UK kini mempunyai akses ke kurang daripada 70 buah destinasi." 

Apabila vaksin Covid-19 pertama telah diluluskan hanya lebih sebulan yang lalu, pakar industri syarikat penerbangan percaya bahawa pemvaksinan mandatori sebelum perjalanan udara mungkin akan menjadi suatu kemestian. 

Suatu inovasi teknologi yang dijadualkan akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2021 akan menyumbang kepada pemulihan mobiliti global, iaitu Inisiatif Pas Perjalanan IATA  merupakan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengembara menyimpan dan menguruskan pensijilan yang disahkan untuk ujian Covid-19 atau vaksin. 


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.