150 kartun unik di Pameran Kartun Antarabangsa Malaysia 2020

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 22 September 2020
Read News

KOTA BHARU:

Sebanyak 150 kartun unik bertemakan 'Cintai Warisan Kita' hasil karya pelukis dari pelbagai negara dipamerkan di Pameran Kartun Antarabangsa Malaysia 2020 yang sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Kelantan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata kartun yang dipamerkan itu merupakan karya terpilih daripada 400 karya yang dihantar oleh kartunis dari 44 negara dalam pertandingan menerusi laman web sebelum ini.

“Setiap peserta mengirim penyertaan melalui laman web pertandingan, dan para pemenang sudah diputuskan oleh juri pada Julai lepas. Daripada jumlah itu hanya 150 karya yang dipilih untuk dipamerkan di Balai Seni Kelantan sehingga akhir bulan ini.

“Tempat pertama dimenangi oleh peserta dari Indonesia Iaitu Jilet Kustana, 53, peserta kedua dari China iaitu Liang Weichi, 46, dan tempat ketiga dimenangi oleh Makhmudjon Eshonqulov, 62, dari Uzbekistan,” katanya selepas merasmikan pameran itu di Balai Seni Lukis.

Turut hadir Pengurus Balai Kartun Rossem (BKR) Rosidi Semail, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan Ahmad Shargowi Derahman.

Pameran berkenaan yang dianjurkan BKR dengan kerjasama Perbadanan Muzium Kelantan itu bermula 1 Ogos lepas dan akan berakhir pada 30 Sept ini.

Mengulas lanjut, Md Anizam berkata karya seni kartun dilihat mampu menaikkan imej Kelantan di mata dunia apabila kartunis dapat menterjemahkan warisan dan budaya negeri itu dengan unik selain menepati hasrat kerajaan negeri dalam memelihara warisan dan budaya Kelantan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.