27 permohonan baharu hak trafik udara dilulus

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 20 January 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluluskan 27 daripada 28 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) yang diterima pada suku keempat 2021, peningkatan 33.3 peratus permohonan dan 28.6 peratus kelulusan berbanding suku ketiga tahun yang sama.

Daripada 28 permohonan itu, 17 adalah permohonan bagi laluan penerbangan domestik, yang meningkat lebih dua kali ganda berbanding tujuh permohonan yang diterima pada suku ketiga 2021.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, peningkatan itu terutama disebabkan pembukaan semula sempadan negeri pada Oktober 2021 dan peningkatan permintaan bagi percutian domestik, dengan destinasi utama bagi penambahan penerbangan itu adalah Langkawi, diikuti Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Bharu.

"Walaupun masih berdepan dengan pandemik, kita dapat menyaksikan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dalam sektor penerbangan tempatan dengan peningkatan permohonan ATR bagi laluan penerbangan domestik pada suku keempat 2021.

"Perkembangan yang memberangsangkan ini menunjukkan daya tahan sektor penerbangan yang kukuh dan mampan untuk bangkit semula ke tahap pra-pandemik.


"Kami berharap perkembangan ini akan berterusan dan turut menggalakkan pengguna penerbangan udara untuk merancang penerbangan bagi musim perayaan dengan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan di lapangan terbang serta pembelian harga tiket penerbangan yang tinggi," kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu turut menerima 13 permohonan ATR bagi segmen kargo udara yang menandakan pertumbuhan sektor yang berterusan dan mampan.

Pemegang-pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kargo baharu iaitu World Cargo Airline Sdn Bhd dan M Jets International Sdn Bhd turut menyumbang kepada peningkatan kelulusan ATR dan menerima peruntukan sebanyak sembilan ATR secara keseluruhan bagi suku keempat 2021.

MAVCOM juga menjangkakan segmen kargo udara akan berkembang antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus tahun ke tahun bagi 2022, iaitu antara 20.8 dan 21.6 bilion dalam tan kargo setiap kilometer (FTK).

Dari segi peruntukan ATR bagi suku keempat 2021, Malaysia Airlines Bhd dan World Cargo Airline Sdn Bhd menerima kelulusan tertinggi dengan enam ATR bagi setiap syarikat, diikuti AirAsia Bhd (lima ATR) dan M Jets International Sdn Bhd (tiga ATR).

Selain itu, AirAsia X Bhd, FlyFirefly Sdn Bhd dan Malindo Airways Sdn Bhd masing-masing diperuntukkan dua ATR, manakala MyJet Express Airlines Sdn Bhd diperuntukkan satu ATR.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.