Airasia peroleh kelulusan latihan juruterbang dron

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 11 January 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

AirAsia Group Bhd memperoleh Sijil Kelulusan (COA) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk menjalankan latihan penerbangan dron.

Syarikat itu berkata, latihan dalam kelas akan dijalankan di AirAsia Academy di KL Sentral dan latihan praktikal akan dijalankan di padang YMCA Kuala Lumpur, bersebelahan KL Sentral.

Ketua Penguatkuasaan Keselamatannya, Kapten Ling Liong Tien berkata kumpulan tersebut merupakan yang pertama di Malaysia memperoleh kelulusan CAAM untuk akreditasi latihan juruterbang dron (RPTO).

"Idea di sebalik latihan RPTO adalah untuk menyediakan sokongan industri melalui latihan juruterbang dron yang berkualiti dengan memanfaatkan latar belakang industri penerbangan yang kukuh dan kepakaran kami selama dua dekad.

Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) kini telah menjadi elemen penting dalam pelbagai industri untuk memacu keberkesanan dan kecekapan kos," katanya dalam satu kenyataan.

Ling berkata kumpulan itu komited untuk membangunkan asas yang kukuh, disokong oleh sistem pengurusan keselamatan sedia ada, pengurusan sumber kru dan program latihan modal insan bersama-sama modul latihan juruterbang dron di dalam dan di luar kelas.

Menurutnya, program latihan juruterbang dron itu menyokong projek perintis bagi penghantaran barangan daripada platform e-dagang AirAsia menggunakan dron automatik.

Mengulas mengenau perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata revolusi penghantaran menggunakan dron merupakan pasaran yang lumayan dan kian meningkat, sambil menambah bahawa industri ini telah berkembang pesat di peringkat global dan dijangka mencecah US$7.388 bilion menjelang 2027.

"Kami berbangga untuk memacu revolusi penghantaran menggunakan dron di Malaysia. Selain itu, latihan ini menyokong visi kami untuk melancarkan perkhidmatan penghantaran dron dalam bandar pada masa hadapan untuk pelbagai barangan termasuklah barangan runcit daripada platform e-dagang AirAsia.

"Program latihan baharu ini memberi peluang untuk meningkatkan kemahiran Allstars kami dan menawarkan program baharu yang menarik untuk pelbagai komuniti, serta menyokong industri dron dengan menawarkan latihan berkualiti bagi menyediakan lebih ramai juruterbang dron yang berkelayakan di Malaysia," katanya.

Menurut kumpulan itu, kelas latihan juruterbang dron komersial bermula dari 24 Januari, dan menambah bahawa calon tidak memerlukan pengalaman penerbangan atau penerbangan terdahulu dan boleh mendaftar untuk mengikuti kursus tersebut melalui laman sesawang AirAsia Academy.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.