Johor mohon tiga kawasan pelancongan dibuka

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 7 September 2021
Read News

JOHOR:

Kerajaan negeri memohon tiga kawasan pelancongan di negeri ini yang sudah mencapai vaksinasi lengkap lebih 80 peratus dibuka untuk gelembung pelancongan.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tiga kawasan itu adalah Muar, kepulauan Mersing dan Desaru.

Katanya, Tourism Johor dan pemain industri pelancongan menyambut baik inisiatif gelembung pelancongan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan destinasi mencapai kadar vaksinasi 80 peratus beroperasi.

"Selepas berbincang dengan Tourism Johor, saya ingin memohon supaya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempertimbangkan tiga kawasan tumpuan bagi inisiatif gelembung pelancongan.

"Pertamanya, ia membabitkan Muar yang terkenal dengan panorama cantik, bangunan bersejarah dan makanan enak telah mencapai imuniti kelompok pada 4 September lalu dengan seramai 168,396 penduduk atau 84.24 peratus penduduk menerima dos lengkap.

"Keduanya, kepulauan Mersing atau lebih dikenali sebagai 'Maldives of Malaysia' yang mencapai 100 peratus vaksinasi atau 594 orang bagi keseluruhan penduduk dan pekerja pusat peranginan.

"Ketiganya adalah Desaru Coast yang dinobatkan sebagai antara tempat terhebat dunia 2021 oleh majalah Time, mencapai 91 peratus vaksinasi atau 1,210 pekerja yang sudah menerima dos kedua," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebooknya.

Onn Hafiz berkata, beliau percaya inisiatif gelembung pelancongan akan memberikan sinar baharu kepada pemain industri pelancongan Johor yang suram sejak bermulanya pandemik.

"Saya berharap dan memohon jasa baik kerajaan Pusat supaya dapat mempertimbangkan permohonan Johor bagi membuka kembali sektor pelancongan negeri ini yang sudah lengkap vaksinasi," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.