Kekerapan penerbangan ke Sarawak ditambah

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 17 January 2022
Read News

SARAWAK:

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan kekerapan penerbangan ke negeri ini ditambah kepada 562 kali seminggu, berkuatkuasa 14 Januari 2022.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, kelulusan kekerapan penerbangan itu diberikan selepas beberapa faktor diteliti antaranya peralihan Sarawak ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Januari lalu.

Selain itu katanya, permintaan untuk tambahan penerbangan bagi sambutan Tahun Baru Cina serta jumlah kes harian positif COVID-19 yang rendah di negeri ini selain merancakkan kembali industri pelancongan.

"Sehubungan itu semua syarikat penerbangan boleh kembali beroperasi seperti biasa dan menurunkan kadar tambang.

"Bagaimanapun, syarikat penerbangan harus memastikan hanya penumpang yang lengkap vaksin COVID-19 dibenarkan memasuki pesawat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, semua syarikat penerbangan perlu mengesahkan jadual penerbangan mereka menerusi Aerofile kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Kekerapan penerbangan dari luar Sarawak ke Kuching kini meningkat daripada 149 kepada 279 kali seminggu, manakala penerbangan ke Miri ditambah daripada 61 kepada 127 kali seminggu.

Penerbangan ke Sibu pula ditambah daripada 45 kepada 83 kali seminggu, Bintulu daripada 38 kepada 59 kali seminggu manakala Limbang dan Mulu kekal tujuh kali seminggu.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.