Kerajaan negeri lihat keperluan hadkan jumlah pengunjung di Kampung Budaya

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 5 September 2020
Read News

KUALA NERUS :

Kerajaan negeri akan melihat keperluan mengehadkan jumlah kehadiran pengunjung pada satu-satu masa di Kampung Budaya Terengganu dalam usaha memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada sejauh mana sambutan yang diterima dan pematuhan SOP oleh para pengunjung sepanjang kemasukan percuma ke kampung budaya sehingga Ahad ini.

“Kampung Budaya Terengganu baru bermula semalam, jadi kita tengok dalam baki tiga hari percuma ini sejauh mana sambutannya, bagaimana keadaannya (pematuhan SOP) dan insya-Allah, kita akan buat perancangan seterusnya.

“Seperti yang telah kita lakukan di Santuari Kelah di Tasik Kenyir yang mana jumlah pengunjung pada satu-satu masa dihadkan demi mematuhi SOP,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Penutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal.

Beliau turut mengingatkan pengunjung Kampung Budaya Terengganu supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan fizikal.

Kampung Budaya Terengganu, yang terletak di Muzium Negeri, merupakan tarikan pelancongan terbaharu di negeri itu yang menampilkan konsep muzium hidup dengan menghimpunkan pelbagai kesenian, kebudayaan dan warisan dari semua lapan daerah di Terengganu.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.