MAHB tawar hadiah jongkong emas

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 8 September 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

 Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menawarkan jongkong emas seberat 200 gram kepada pembeli bertuah sempena ulang tahun pertama shopMYairports dan kempen 'Are You The Goldenaire'.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin, kumpulan turut menawarkan hadiah bulanan jongkong emas 2.5 gram bernilai sehingga RM100,000.

Beliau berkata, pembeli boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ini bermula dari September 2021 hingga 28 Februari 2022 dengan membeli baucar membeli-belah Goldenaire bernilai RM10 dan menebusnya di platform e-dagang shopMYairports.

"Kempen 'Are Are You the Goldenaire' dijalankan sempena ulang tahun pertama shopMYairports. Sejak dilancarkan pada September 2020, shopMYairports mencapai pertumbuhan jualan tambahan bulanan sekitar 50 peratus dan menarik lebih dua juta pengunjung dalam talian.

"Malah, siri promosi dalam talian yang dilaksanakan MAHB pada 2020 juga menyumbang kepada peningkatan penjualan, khususnya sempena Boxing Day, yang memberikan purata jualan harian sebanyak 58 kali ganda dan purata pesanan harian 38 kali ganda," katanya pada taklimat media secara maya.

Hani berkata, melalui kempen itu juga, MAHB berhasrat menjadikan shopMYairports sebagai platform e-dagang pelancongan runcit premium di Malaysia.

Beliau berkata, kumpulan meningkatkan pangkalan penggunanya sebanyak 16 kali dan pertumbuhan penjualan sebanyak 10 kali ganda.

Katanya, sepanjang tahun lalu juga, shopMyairports memberikan sokongan kepada peruncit meningkatkan jualan melalui pengalaman membeli-belah di lapangan terbang untuk pelancong dan bukan pelancong.

Sokongan pemasaran lebih komprehensif juga, katanya diberikan oleh MAHB bagi memastikan jangkauan maksimum kepada peruncit.

"Menerusi kerjasama antara MAHB dan peruncit, kami memilih produk eksklusif bagi memenuhi permintaan dalam talian pembeli yang kapasitinya lebih besar daripada pelancong biasa. shopMYairports adalah salah satu inisiatif utama kami untuk menghidupkan kembali industri runcit lapangan terbang tempatan.

"Platform ini terbukti dapat membantu rakan runcit lapangan terbang kami menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan baharu dan membolehkan mereka menyediakan produk serta perkhidmatan terbaik kepada pembeli.

"shopMYairports dijangka akan terus memperkasakan peruncit dan pembeli dengan pengalaman runcit lapangan terbang dalam talian yang terbaik," katanya.

Hani berkata, platform jualan dalam talian MAHB itu juga merekodkan perkembangan positif dalam tempoh hanya setahun dan ia dijangka akan terus berkembang tahun ini.

Beliau berkata, bagi memberikan pengalaman yang lebih meluas, shopMYairports kini juga sudah tersedia untuk penghantaran antarabangsa.

Ia, katanya dapat diakses oleh pembeli luar negara yang ingin membeli produk terbaik di Malaysia dalam persekitaran runcit lapangan terbang yang unik.

"Pada masa yang sama, pertumbuhan penghantaran antarabangsa memberi peruncit peluang memasuki pasaran baharu.

"Inisiatif pendigitan jangka panjang MAHB bertujuan untuk memfasilitasi pertumbuhan peruncit lapangan terbang dan meletakkan asas untuk mengubah lapangan terbang menjadi destinasi membeli-belah dan gaya hidup," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.