Malaysia Airlines ganda kapasiti laluan KL-Doha

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 weeks ago on 20 July 2022
Read News

KUALA LUMPUR:

Malaysia Airlines menggandakan kapasitinya antara Kuala Lumpur dan Doha dengan penerbangan tanpa henti harian kedua bermula 10 Ogos 2022 bagi memenuhi permintaan penumpang yang tinggi di laluan berkenaan.

Perkhidmatan harian tambahan itu akan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 2.55 pagi menerusi MH164 dan dari Doha pada jam 8.05 pagi menerusi MH165.

Ia adalah tambahan kepada perkhidmatan harian sedia ada MH160 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 9.20 malam dan MH161 yang berlepas dari Doha pada jam 1.30 pagi, menjadikan jumlah penerbangan Malaysia Airlines ke Doha kepada 14 penerbangan setiap minggu.

Penerbangan dua kali sehari itu menggunakan pesawat A330-300 dengan 27 tempat duduk tercanggih dalam Kelas Perniagaan, 16 tempat duduk dalam Ekonomi dengan ruang kaki tambahan dan 247 tempat duduk dalam Kelas Ekonomi.

Perkhidmatan harian tambahan akan dibuka untuk jualan mulai 25 Julai dan akan merangkumi perkongsian kod Qatar Airways di kedua-dua arah.

Perkhidmatan tambahan itu mengukuhkan perkongsian strategik Malaysia Airlines dan Qatar Airways, membolehkan penumpang melakukan perjalanan ke lebih 96 destinasi perkongsian kod dan menikmati sambungan yang lancar dan paling mudah, melalui hab utama rakan kongsi di Kuala Lumpur dan Doha.

Waktu ketibaan dan pelepasan penerbangan Malaysia Airlines dua kali sehari menawarkan pelanggan akses penuh ke rangkaian tiada tandingan Qatar Airways ke Asia Barat, Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat (AS) melalui lapangan terbang terbaik dunia, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad.

Pada masa sama, ia membina sambungan sempurna kepada rangkaian Malaysia Airlines ke negeri dalam Malaysia, selain Asia Tenggara, Asia Utara dan Australasia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail, berkata pihaknya gembira dapat meningkatkan kekerapan ke Doha, selepas kejayaan pelancaran perkhidmatan harian pada Mei.

Beliau berkata, Malaysia Airlines mengiktiraf kepentingan bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Qatar Airways, lebih-lebih lagi dengan permintaan perjalanan yang semakin meningkat untuk laluan itu berikutan pelonggaran sekatan sempadan.

Katanya, dengan menggandakan perkhidmatan ke Doha dan penerbangan perkongsian kod Qatar Airways, syarikat penerbangan nasional itu akan dapat memperluaskan tawaran 'Malaysian Hospitality' kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas.

"Penambahan kerjasama strategik terbaru dengan Qatar Airways ini akan membolehkan Malaysia Airlines mencapai kapasiti penumpang melebihi 70 peratus daripada tahap pra-pandemik menjelang akhir tahun.

"Sebagai syarikat penerbangan nasional, kami akan terus memainkan peranan penting dalam memudahkan perjalanan selamat melalui inisiatif #FlyConfidently untuk penumpang melakukan perjalanan dengan ketenangan fikiran," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Eksekutif Kumpulan Qatar Airways, Akbar Al Baker, berkata pihaknya gembira dengan pertumbuhan pesat pakatan strategik dengan Malaysia Airlines dan mengalu-alukan keputusan rakan kongsi untuk menambah penerbangan tanpa henti harian kedua ke Doha, hanya beberapa minggu selepas permulaan operasi mereka antara Kuala Lumpur dan Doha.

Beliau berkata, ia adalah contoh yang mengagumkan mengenai cara syarikat penerbangan rakan kongsi boleh mendapat manfaat serta-merta menerusi bekerjasama dengan Qatar Airways.

"Kami komited untuk mengembangkan lagi kerjasama strategik dengan Malaysia Airlines dan untuk bersama-sama membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sebagai hab terkemuka di rantau Asia Tenggara memandangkan peningkatan semula yang kukuh dalam permintaan perjalanan udara global," katanya.

Melalui perkongsian strategik, kedua-dua rakan kongsi akan mengukuhkan lagi hubungan dan aliran trafik dan meningkatkan pelancongan di kedua-dua negara.

Pelanggan di kedua-dua syarikat penerbangan juga akan mendapat manfaat daripada kemudahan tiket tunggal, perkhidmatan daftar masuk, menaiki pesawat dan operasi pemeriksaan bagasi, faedah penerbangan kerap serta akses ke ruang istirahat bertaraf dunia semasa perjalanan.

Perkongsian strategik Malaysia Airlines dan Qatar Airways berkembang secara progresif bermula 2001 dan meluaskan perkongsian kerjasama secara ketara dengan menandatangani Memorandum Persefahaman pada Februari 2022.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.