Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan Memberi Inspirasi Dalam Penghasilan Produk Kraf Malaysia

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 year ago on 25 July 2022
Read News

LANGKAWI:

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Kraftangan Malaysia pada hari ini telah mengadakan majlis pembukaan Galeri Evolusi Kraf dan pembukaan semula Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bertempat di Kompleks Kraf Langkawi.

Galeri Evolusi Kraf memaparkan manifestasi perkembangan reka bentuk produk kraf Malaysia dari tahun 1980an hingga 2020 yang memenuhi dua tujuan, iaitu hiasan dan fungsi. Galeri ini merupakan pusat rujukan yang menjurus ke arah pendidikan bagi meningkatkan kepekaan masyarakat terhadap perkembangan reka bentuk produk kraf Malaysia yang menekankan nilai estetika dan komersial. Pembukaan galeri bakal menjadi platform rujukan bagi pereka kraf tempatan, pengiat seni, pemain industri, usahawan dan pelajar untuk memberi inspirasi dalam penghasilan produk kraf Malaysia.

Menurut YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, ‘Pembukaan galeri ini juga merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada pereka Kraftangan Malaysia yang telah banyak membantu komuniti kraf melalui interpretasi olahan bentuk, reka corak dan motif dalam membangunkan reka bentuk produk kraf baharu. Sebanyak 249 reka bentuk produk kraf Malaysia dipamerkan dengan penglibatan seramai 72 orang pereka Kraftangan Malaysia’.

Pembukaan semula Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan ini memberi nafas baharu yang bertujuan untuk menggalakkan generasi muda khususnya mempelajari budaya tradisi bangsa bagi memupuk rasa kecintaan terhadap amalan kepercayaan dan adat generasi terdahulu. Kesedaran tentang perwarisan budaya ini perlu dipupuk untuk kelangsungan pembudayaan adat dan istiadat perkahwinan sesuatu bangsa agar kekal terpelihara dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Muzium ini mengetengahkan sembilan manifestasi perkahwinan iaitu Diorama Adat Meminang, Adat Pertunangan, Adat Persandingan dan Adat Nasi Temuan Melayu Perak, Evolusi Hantaran Perkahwinan Melayu, Perkahwinan Cina, Perkahwinan India, Perkahwinan Kadazan-Dusun serta Perkahwinan Iban. Diorama ini mempamerkan 615 koleksi kraf yang digunakan dalam setiap adat yang dijalankan semasa majlis perkahwinan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.