Penggiat seni di Kelantan digesa berdaftar dengan JKKN

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 24 August 2020
Read News

KOTA BHARU:

 Penggiat seni dan budaya di negeri ini digesa supaya mendaftar dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata menerusi bantuan yang diberikan ia membantu para penggiat seni merancakkan aktiviti kesenian mereka sekali gus mengangkat seni dan budaya negeri itu ke peringkat lebih tinggi.

“Apabila mereka sudah berdaftar, ia memudahkan pemantauan aktiviti serta mencari golongan pelapis dalam kalangan orang muda untuk bergiat aktif dalam bidang yang mereka minati.

“Selain itu, mereka juga boleh dibantu dari segi promosi dan latihan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan ke-28.

Turut hadir, EXCO Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan yang juga Presiden Kebudayaan Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Anizam Abdul Rahman dan Pengarah JKKN Kelantan Rosnan Abdul Rahman.

Sehingga kini, 17 persatuan seni dan budaya sudah berdaftar dengan JKKN Kelantan dengan 15 daripadanya bergiat aktif dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, Nik Mohd Amar dalam ucapannya berkata kerajaan negeri dan JKKN Negeri kini berhubung rapat dengan Universiti Malaysia Kelantan bagi mencari kaedah terbaik menghidupkan seni dan budaya negeri itu.

Ini kerana seni dan budaya mampu menjadi medium penggerak dakwah kepada masyarakat dengan cara penyampaian mesej berunsur keagamaan yang lebih santai. 

“Inilah yang dilakukan pendakwah besar dahulu dalam menerapkan mesej keagamaan kepada masyarakat yang kini menjadi amalan dan pegangan masyarakat terkini.

“Malah dari segi menyediakan aksesori pada pakaian terutama butang Baju Melayu juga mempunyai maksud yang sangat besar dan berkait dengan pegangan dan akidah umat Islam itu sendiri,” katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.