Pengusaha pelancongan Indonesia protes kenaikan harga masuk ke Taman Negara Komodo

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 1 year ago on 2 August 2022
Read News

INDONESIA :

Ratusan pengusaha perniagaan berteraskan pelancongan di Taman Negara Komodo memulakan gerakan protes selama sebulan bermula Isnin (1 Ogos) selepas pemerintah Indonesia mengenakan kenaikan harga yang tinggi bagi kemasukan ke santuari reptilia purba itu.

Tindakan Jakarta menaikkan harga tiket sehingga 18 kali ganda ke pulau paling popular di taman negara itu bertujuan untuk mengehadkan pengunjung sekali gus melindungi biawak Komodo.

Biawak terbesar di dunia dengan jolokan nama 'naga Komodo' itu semakin diancam dengan pendedahan keterlaluan kepada manusia selain kesan perubahan persekitaran.

Langkah kenaikan harga itu, yang berkuat kuasa pada Isnin, menyaksikan bayaran masuk ke Pulau Komodo dan Pulau Padar di Nusa Tenggara melonjak, dari 200,000 Rupiah (RM60) kepada 3.75 juta Rupiah (RM1,125).

Perubahan ketara itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan yang bergantung harap pada pelancongan, yang baru saja hendak mendapat rentak selepas mengharungi tempoh pandemik.

"Kami tidak ada pilihan lain. Kami telahpun mengadukan pendapat rasional dan hujah kami, namun pemerintah tidak mendengarnya.

“Kami menyokong hal konservasi Komodo namun berikanlah penyelesaian yang lebih baik, supaya kita boleh melindungi biawak Komodo ini serta pengusaha dan penduduk tempatan yang bergantung pada industri pelancongan,” luah seorang pengusaha rombongan di Labuan Bajo, Servianus Setiawan.

Kebanyakan mereka bimbang dengan harga baharu itu, para pelancong yang datang akan berkurangan dengan ketara, lebih-lebih lagi pelancong dengan bajet sederhana dan rendah.

Gabenor Nusa Tenggara Timur, Viktor Laiskodat, bagaimanapun berkata, penetapan harga baharu itu akan terus dilaksanakan meskipun berdepan protes orang ramai.

"Kami akui bahawa pemberitahuan umum tentang harga baharu tidak dibuat dengan baik. Kami akan sampaikan kepada mereka dengan lebih baik selepas ini sambil memantau situasi," katanya.

Sekurang-kurangnya 700 pekerja terlibat dalam tunjuk perasaan yang bakal berlangsung sepanjang bulan Ogos, kata Servianus.

'Naga' Komodo hanya boleh ditemui di taman negara berkenaan dan di Pulau Flores yang berdekatan. Sehingga kini, hanya terdapat sejumlah 3,458 ekor komodo yang masih berada dalam habitat liar, menurut data Kesatuan Antarabangsa bagi Konservasi Alam.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.