Pihak hotel disaran ambil semula pekerja

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 9 November 2021
Read News

NEGERI SEMBILAN:

Pihak hotel digesa supaya mengambil semula pekerja yang telah diberhentikan sebelum ini akibat Covid-19 bagi menghargai pengorbanan mereka dalam membantu mengurangkan kos operasi sebelum ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia bagi menangani isu kekurangan pekerja dalam industri perhotelan yang berlaku ketika ini sehingga tidak dapat menampung permintaan pelanggan sepenuhnya.

“Industri perhotelan khususnya di Port Dickson kini tidak dapat menampung 100 peratus permintaan kerana tidak cukup petugas disebabkan faktor pandemik Covid-19.

“Ada dalam kalangan mereka (pekerja hotel) ditamatkan perkhidmatan, berhenti secara sukarela dan ada yang telah berkhidmat dalam industri lain,” katanya.

Sebelum itu, beliau melancarkan Sistem Pengurusan Linen Intellino yang dapat membantu pihak hotel dalam menyediakan linen berkualiti tanpa sebarang kos permulaan. 

Menurut Aminuddin, dalam keadaan industri perhotelan yang semakin mendapat permintaan ekoran kebanjiran pelancong, ia pastinya memberi suatu tekanan kepada pihak hotel.

“Sekarang, pihak hotel sukar mendapatkan pekerja baharu yang berpengalaman, ini memberi tekanan sehingga mereka terpaksa menolak (pelanggan) dan merugikan pihak hotel.

“Saya menyeru mereka yang belum mendapatkan pekerjaan supaya kembali dalam industri perhotelan dan berharap anak-anak muda terus ke hotel untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang pekerjaan yang ada,” katanya.

Jelas beliau, tempahan hotel-hotel di Port Dickson khususnya pada hujung minggu dengan kehadiran pelancong adalah amat menggalakan.

“Apa yang membanggakan, pada hari bekerja pengunjung ke hotel boleh mencapai 60 hingga 65 peratus dan ini menunjukkan masyarakat menyokong usaha pelancongan domestik,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, peruntukan sebanyak RM6 juta telah disediakan oleh syarikat linen Intellino Sdn. Bhd. kepada pihak hotel di Port Dickson tanpa memerlukan kos awalan.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.