Sabah mahu tarik semula kedatangan pelancong China

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 15 January 2022
Read News

SABAH:

Kerajaan Sabah berharap pelancong China kembali menjadikan negeri ini sebagai destinasi percutian utama mereka apabila pintu sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata kedatangan pelancong asing terutama dari China penting bagi membantu kerancakan aktiviti pelancongan negeri seperti sebelum pandemik COVID-19.

"Pandemik COVID-19 menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk, namun dengan pembukaan semula sempadan negara kepada pelawat antarabangsa dalam tempoh terdekat, kita berharap ramai pelancong dari China akan kembali melawat Sabah.

"Ia dapat membantu pemulihan sektor pelancongan tempatan dan meningkatkan ekonomi negeri," katanya ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik.

Hajiji juga berharap Caide dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia membantu mempromosikan Sabah sebagai antara destinasi pelancongan utama di China.

Katanya, Sabah juga sangat mengalu-alukan pelaburan asing terutama dari negara China untuk bersama-sama membangunkan pelbagai sektor utama di negeri ini seperti perindustrian, pembinaan, pelancongan, pertanian dan industri berteknologi tinggi yang baharu.

"Kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama erat dengan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dan Kedutaan China untuk menarik lebih ramai pelabur China ke Sabah, yang akan membantu merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi negeri ini.

"Hubungan baik dan kerjasama yang sedia terjalin di antara Sabah dan China akan terus diperkukuhkan lagi kerana ia memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Terdahulu, Caide memberi taklimat kepada Hajiji mengenai perkembangan terkini negara di China dan usaha yang dilakukan oleh pejabatnya dalam membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan, pelaburan dan perdagangan.

Pelawat dari China adalah pelancong asing terbesar yang menjadikan Sabah sebagai destinasi percutian sebelum pandemik COVID-19 yang bermula pada awal 2020.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.