SKS Airways, syarikat penerbangan komersial terbaharu Malaysia melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) ke Pulau Pangkor.
Selain Pulau Pangkor yang bermula esok, SKS Airways menawarkan akses mudah ke pulau utama lain iaitu Subang ke Pulau Redang mulai 31 Januari; ke Pulau Tioman dari Subang dan Johor Bahru pada suku kedua tahun ini.
Dengan pembukaan ketiga-tiga laluan itu, terdapat 12 penerbangan berjadual setiap hari dengan kapasiti harian penuh 228 penumpang.
SKS Airways menawarkan tambang tetap bermula dari RM160 sehala, selain menggunakan sistem Tambang 3 Peringkat yang boleh dipilih oleh pengembara bergantung pada destinasi dan masa tempahan iaitu SKS PROMO, SKS LITE dan SKS PLUS.
Mengulas mengenai penerbangan sulungnya, Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad, berkata ia penting dengan menandakan permulaan sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penumpang, kargo dan charter.
"Menerusi hab kami yang terletak di Subang dan Senai, kami merancang untuk menghubungkan Malaysia ke destinasi di ASEAN dan selatan China.
"Sebagai sebuah syarikat penerbangan baharu, kami aktif, tangkas dan fleksibel, serta berkemampuan memanfaatkan sebarang peluang yang wujud. Kami mengambil kesempatan untuk memenuhi permintaan perjalanan terpendam untuk perjalanan domestik dan bersiap sedia untuk perjalanan antarabangsa apabila dibuka semula," katanya pada sidang media selepas penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor, hari ini.
Majlis pelepasan penerbangan SKS Airways KI 6357 dari LTSAAS di Subang pada jam 1.15 petang ke Pulau Pangkor disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong.
SKS Airways akan memulakan operasi dengan pesawat Twin Otter, yang terkenal di seluruh dunia kerana keteguhan dan kebolehpercayaan dengan keupayaan Short Take Off and Landing (STOL) yang sangat baik.
Pesawat itu turut membolehkan ia mendarat dengan selesa di landasan udara pendek, selain Twin Otter Turboprop yang boleh membawa 19 penumpang itu sangat mudah dikendalikan, serba boleh dan menjadi antara pesawat paling fleksibel yang pernah dibina.
SKS Airways dijangkakan dapat menarik minat individu Gen-Y dan Gen-Z yang celik IT, keluarga muda dan semua pengembara serta pencinta pulau yang tercari-cari pengalaman percutian pendek hujung minggu ke destinasi pulau popular di Malaysia.
Sementara itu, Ka Siong berkata, pelancaran syarikat penerbangan terbaharu Malaysia itu adalah petunjuk sentimen positif pelanggan terhadap perjalanan udara, terutamanya perjalanan domestik.
"Pada Oktober 2021, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mendedahkan hasil Tinjauan Pengguna yang menunjukkan bahawa 60 peratus pengembara Malaysia masih memilih perjalanan udara domestik.
"Antara faktor yang dinyatakan kenapa perjalanan domestik tetap menjadi pilihan termasuklah kos perjalanan yang lebih rendah, risiko terdedah kepada COVID-19 lebih tinggi apabila melancong ke luar negara dan responden yang tinggal bersama ahli keluarga berisiko tinggi.
"Justeru, saya percaya dengan pelancaran SKS Airways khususnya ke destinasi pulau popular seperti Pulau Pangkor yang bebas cukai akan menjadi sesuatu yang dinantikan untuk perjalanan domestik dan memberikan nafas baharu buat semua pengendali pelancongan tempatan di kawasan berkenaan," katanya.
- TAGS / KEYWORDS: