Pelancongan marin semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 31 July 2020
Read News

GEORGETOWN:

 Pelancongan marin semakin mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya dalam pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara (TMWU) Ahmad Husni Ahmad Basri berkata pihaknya bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Jabatan Perikanan giat menganjurkan pelbagai program dan kursus untuk menyampaikan maklumat berkenaan pelancongan marin kepada pemandu pelancong dan agensi pelancongan di Malaysia.

"Malaysia mempunyai banyak destinasi untuk pelancong melakukan aktiviti menyelam atau snorkelling dan permintaannya semakin meningkat terutama selepas rentas negeri dibenarkan," katanya.

Beliau ditemui pada program 'Tourism Knowledge Enhancement' bertajuk 'Symbiosis Between Tourism and Marine Environment' anjuran Zou Divers School dan Northern Dive Shop yang dihadiri pegawai MOTAC dan TMWU, agensi-agensi pelancongan tempatan, pemandu pelancong dan pemain industri dalam sektor sama.

Program itu diadakan untuk menerangkan syarat dan undang-undang pelancongan marin di Malaysia, menyampaikan maklumat berkenaan destinasi pelancongan marin, berkongsi kaedah dan kemudahsampaian ke destinasi tersebut serta menerangkan syarat-syarat terkini perlu dipatuhi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ahmad Husni berkata pihaknya mengenal pasti Pulau Songsong yang terletak di daerah Yan, Kedah sebagai destinasi pelancongan marin khususnya aktiviti bawah air, wajar diberikan perhatian berikutan kekayaan terumbu karang dan kehidupan marin di kawasan itu.

Sementara itu, penganjur program merangkap jurulatih menyelam skuba di Zou Divers, Zulhairie Zulkiflee berkata beliau program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pemain industri supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila membawa pelancong bercuti.

"Setelah rentas negeri dibenarkan, saya dapati kurang pematuhan SOP di jeti-jeti pulau pelancongan terkenal. Orang ramai padat di sesebuah jeti, saya percaya itu adalah kerana masing-masing ingin membawa keluarga pergi bercuti setelah berbulan berkurung di rumah. Jadi, saya berharap kerjasama dapat dipupuk antara pemain industri supaya mengelakkan perkara sebegini daripada terjadi," katanya.

Menurutnya, pendaftaran untuk menyertai kelas selam skuba juga semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka sudah mempunyai kesedaran bahawa sukan bawah air boleh dilakukan bersama keluarga dengan selamat.

Katanya, skop aktiviti pelancongan tidak lagi terhad di atas daratan sahaja sebaliknya rakyat mahukan aktiviti yang boleh dilakukan di laut.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.