Kerajaan P. Pinang tidak mahu tergesa-gesa laksana projek pembesaran lapangan terbang

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 29 July 2020
Read News

PULAU PINANG :

Kerajaan Pulau Pinang tidak akan mendesak kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berikutan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan pusat dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu mempertimbangkan semua tanggungjawab dan komitmen kewangan terhadap projek berkenaan.

"Kita serahkan kepada MAHB untuk menimbangkan semua faktor itu, namun hakikatnya sebelum bermula gejala COVID-19 lagi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sudah dijadual untuk diperbesarkan, bagaimanapun rancangan itu mungkin terpaksa ditangguhkan akibat pandemik ini.

"Saya rasa kementerian (Kementerian Pengangkutan) harus menimbangkan bila waktu yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Kementerian Pengangkutan bahawa setiap cadangan untuk membina lapangan terbang baharu, termasuk untuk membesar dan menaik taraf LTAPP, hanya akan dipertimbangkan selepas kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) selesai.

Dalam jawapan bertulis kepada Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) di Parlimen semalam, Kementerian Pengangkutan memaklumkan kajian mengenai pembangunan lapangan terbang dan lapangan terbang landasan pendek (STOLport) di negara ini dijangka akan selesai pada tahun 2023 seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara.

Bagaimanapun, Chow berkata sekarang jumlah penumpang di LTAPP telah menurun kepada kurang daripada 1,000 penumpang sehari.

"Saya rasa lapangan terbang yang sedia ada sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang itu dan tidak perlu tergesa-gesa mahu mempercepatkan projek ini, sehinggalah COVID-19 berakhir," katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa projek pembesaran LTAPP yang dianggar bernilai RM800 juta itu telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 3 Dis tahun lepas dan akan dilaksanakan dalam empat peringkat yang terdiri daripada lima pakej pembinaan.

Projek itu akan membolehkan lapangan terbang berkenaan menampung sehingga 12 juta penumpang berbanding kapasiti semasa iaitu 6.5 juta penumpang ketika ini.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.