Pejabat Ekonomi, Pelancongan & Kebudayaan Johor dibuka di Singapura

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 2 years ago on 23 November 2021
Read News

JOHOR:

Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) yang bakal menjadi jambatan pengukuh antara Johor dengan Singapura akan dibuka secara fizikal di Singapura pada suku pertama tahun depan.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata kegiatan dan libat urus bersama pemegang taruh awam dan swasta sedang dijalankan dan akan dipergiatkan seiring dengan pembukaan pejabat JETCO secara fizikal itu.

JETCO adalah antara inisiatif Tujuh Ikhtiar Makmur Johor yang diumumkan pada Jun tahun lalu.

"Kerajaan negeri percaya, keberadaan JETCO di Singapura akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk menggiatkan aktiviti ekonomi antara Johor dengan Singapura serta menjadi jambatan pengukuh bagi hubungan budaya dan pelancongan yang sedia terjalin," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) mengenai sejauh mana Tujuh Ikhtiar Makmur Johor memberikan kesan kepada proses pemulihan ekonomi Johor pasca COVID-19.

Mengenai jajaran ekonomi baru, Encik Hasni berkata secara konsepnya ia mengambil peluang limpahan daripada pelaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Johor Bahru-Singapura.

"Meskipun pembinaannya tidak lagi diteruskan, Johor masih dapat menikmati limpahan ekonomi daripada pembinaan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura dan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru.

"Kedua-dua projek mega ini akan memberi kesan positif kepada Johor dalam pelbagai sektor ekonomi dan secara langsung, menjadikan infrastruktur pengangkutan di Johor lebih matang dan menyeluruh," kata Encik Hasni.

Menjawab soalan tambahan Encik Dzulkefly mengenai rasional saranan Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) untuk menggunakan khidmat perunding pelaburan, Encik Hasni berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menarik pelaburan ke Johor.

Menurutnya lagi, pelantikan perunding pelaburan tidak bermaksud untuk mengetepikan atau dilihat sebagai satu kelemahan terhadap usaha pelaburan pihak-pihak seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebaliknya, antara usaha untuk menarik pelaburan.

"Johor berpendapat, kita tidak boleh bergantung kepada sistem sedia ada, tetapi Johor dengan kekuatan ada...usaha sendiri dengan melantik perunding pelaburan yang fokus kepada China, Timur Tengah misalnya kerana kita berdepan dengan pandemik yang berbeza, dari segi iklim, selera pelabur...kena ada satu rujukan atau kajian awal sebelum pelaburan dibuat," katanya lagi.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.