Pelancongan berasaskan komuniti rancakkan industri pelancongan Terengganu

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 29 August 2020
Read News

KUALA TERENGGANU:

Penduduk di setiap kampung digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam industri pelancongan berasaskan komuniti bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata beliau yakin industri pelancongan berasaskan komuniti mempunyai potensi yang cerah memandangkan produk dan pengalaman pelancongan berkaitan luar bandar semakin mendapat tempat di hati pelancong, khususnya pelancong dari kota.

Selain itu katanya, pelancongan berasaskan komuniti juga boleh menjadi antara alternatif terbaik pelancong yang melawat Terengganu ketika musim tengkujuh, memandangkan kebanyakan pulau tidak dapat dikunjungi ketika itu.

“Sebab itu, kerajaan negeri kini sedang membantu memajukan beberapa lokasi pelancongan berasaskan komuniti antaranya di Dataran Batu Putih di Marang yang semakin hari semakin maju dan menerima ramai pelawat.

“Pada tahun hadapan kita (kerajaan negeri) merancang untuk mempergiatkan lagi usaha memperbanyakkan produk pelancongan berasaskan komuniti ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Semarak Merdeka 63 Pulau Manis di Kalang Warisan, di Kampung Pulau Manis, Serada.

Dalam pada itu Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat berkata Kalang Warisan merupakan produk terbaharu pelancongan berasaskan komuniti yang wajar dijadikan contoh oleh rakyat di negeri ini.

Katanya sejak dibuka pada 30 Julai lepas, pusat rekreasi yang dibangunkan hasil kerjasama penduduk Pulau Manis di Serada dan kawasan sekitar itu semakin dikenali dan pernah menerima pengunjung mencecah 1,000 orang sehari.

“Tempat ini juga sangat bersesuaian kerana terletak di muara sungai yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Berang.

“Di sini, pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti mandi sungai, berkayak, menaiki bot dan berkhemah. Saya yakin tempat ini akan semakin dikenali pelancong dan lebih maju pada masa akan datang," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.