Trafik penumpang Malaysia Airports pada Dis 2020 melonjak

By TIN Media | Bahasa Malaysia Published 3 years ago on 13 January 2021
Read News

KUALA LUMPUR :

Pengenalan tujuh laluan penerbangan tempatan yang baharu telah melonjakkan pergerakan penumpang domestik sebanyak tiga kali ganda pada Disember 2020 berbanding bulan sebelumnya bagi operasi Malaysia Airports Holdings Bhd di Malaysia.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata keadaan ini juga disumbangkan oleh musim cuti yang panjang dan kelonggaran sekatan perjalanan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata lebih sejuta penumpang melakukan perjalanan dalam negeri melalui rangkaian 39 lapangan terbang Malaysia Airports pada bulan lepas, mencerminkan tanda-tanda menggalakkan dalam pemulihan perjalanan udara.


"Berbanding November 2020, purata pergerakan penumpang harian pada Disember meningkat 50 peratus kepada kira-kira 34,500 dengan pergerakan domestik harian tertinggi mencatatkan 54,000 pada 27 Dis," katanya. 

Syarikat penerbangan seperti AirAsia (AK) dan Firefly (FY) membuat keputusan strategik untuk menyediakan laluan domestik baharu sebagai tindak balas kepada permintaan pasaran COVID-19. 

"Dengan sempadan antarabangsa masih ditutup, mereka kini memberi tumpuan untuk meningkatkan kesalinghubungan antara negeri-negeri terutama yang mempunyai destinasi pelancongan popular termasuk hab perniagaan. Pada Disember sahaja, lapangan terbang tempatan menyaksikan tujuh laluan baru oleh AK dengan kekerapan tiga penerbangan mingguan setiap satu.

"AK juga agak teruja untuk melancarkan laluan baharu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dan Lapangan Terbang Terengganu pada Februari 2021 bagi meluaskan lagi opsyen penerbangannya di samping meningkatkan kesalinghubungan penerbangan di Malaysia," katanya. 

Mohd Shukrie berkata, Januari ini, syarikat penerbangan komuniti tempatan FY akan menjadikan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN), sebagai hab kedua. 

"Penumpang boleh menantikan tiga destinasi baharu apabila terbang dari PEN yang merangkumi Lapangan Terbang Senai, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan BKI. Laluan penerbangan baharu ini akan beroperasi sebanyak dua kali sehari," katanya.


    TAGS / KEYWORDS:

Email TIN

TIN Media

TIN.media - Travel Industry Network is Malaysia's home grown B2B Travel Industry Media with the most influential B2B online resources including news, research, events, and marketing services and more.